Tags
Abah dahulu semasa hayatnya pernah bertugas sebagai Tok Siak. Antara tugas Abah ialah menguruskan jenazah di kawasan Kg Pandan Dalam. Atas pengalaman Abah, di rumah telah tersedia sebuah beg berisi kelengkapan minimum dan juga barang-barang yang akan diminta oleh pasukan khairat bila berlaku kematian.
Abah pernah berpesan, permudahkanlah urusan jenazah. Lebih-lebih lagi jika kaum keluarga tidak arif untuk menguruskan sendiri.
Untuk mereka yag menyumbang ke khairat kematian di surau/masjid masing-masing, kelengkapan kapan dan mandi selalunya telah tersedia. Senarai berikut adalah untuk keperluan di rumah dan tanggungjawab waris jika berlaku kematian. Saya kongsikan persediaan Abah dan Mak di sini untuk dimanfaatkan.
A. Beg yang sedia ada kelengkapan berikut:
- Alas tilam
- Sarung bantal
- Kain tutup jenazah – kain batik lepas atau kain putih ihram
- Tuala mandi 3-4 helai
- Kain putih/Tudung putih untuk tutup muka
- Kain putih 4 jari lebar, 1 kaki panjang x 3 helai untuk ikat kepala (rapatkan mulut), pergelangan kaki, lutut
- Bantal kecil
- Kain batik lepas 2 helai – tutup jenazah ketika mandi
B. Keperluan mandi jenazah (sekiranya mandi di rumah, bergantung jenis rumah):
- Tong besar x 1 dan baldi x 3
- Paip getah
- Gayung
- Tuala mandi (Item A4)
- Tali/Dawai untuk menggantung tabir (mengelilingi kawasan mandi)
- Langsir/Kain panjang sebagai tabir
Kelengkapan beg adalah untuk 1 jenazah sahaja. Barang-barang ini hendaklah dikeluarkan dan dibasuh dari masa ke semasa untuk memastikan ianya masih elok dan bersih.
Apabila berlaku kematian, segera keluarkan beg dan gunakan isinya. Beg ini juga boleh dipinjamkan kepada jiran atau saudara-mara yang tiada kelengkapan. Semoga bantuan ikhlas yang dihulurkan diberi ganjaran Allah swt.
Kelengkapan di atas bukanlah wajib cuma ianya akan memudahkan, bukan sahaja kepada pasukan khairat tetapi juga waris yang mungkin tidak mampu mencari barang-barang yang diminta kerana berada dalam kesedihan. Juga, biarlah memori terakhir arwah di dalam rumah, berada dalam keadaan bersih, suci dan teratur untuk tatapan waris dan mereka yang datang menziarah.
Semoga bermanfaat.
Al Fatehah kepada Abah, Hj Md Zan bin Abu.


